H·U·R·A·I·R·A·H
- العليم/Al-’Alim /Yang Maha Mengetahui/The Omniscient -
Facebook · Twitter · Ask.fm · Follow · Intagram
Bab 3: Akhlaq Mulia: Satu Huraian.
Wednesday, June 04, 2014 AT 4:24 PM

Rasulullah SAW bersabda:

 “Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi di antara kalian dan yang paling dekat kedudukannya denganku di hari kiamat kelak adalah orang yang terbaik akhlaqnya."                                                                      -Riwayat al-Tirmidzi -

      Bagi tujuan menghuraikan apa sebenar akhlaq yang mulia itu, Rasulullah SAW telah menyifatkannya sebagai kesimpulan kepada segala perbuatan baik.


       Al-Nawas Ibn Sam'an al-Ansari meriwayatkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang perbuatan baik (ابر) dan perbuatan dosa (الإثم). Demi menjawab pertanyaan tersebut, Rasulullah SAW bersabda:

 "Perbuatan baik itu ialah berakhlaq mulia, dan perbuatan dosa itu ialah apa yang kamu pendamkan (perkara yang menyebabkan kegusaran) dalam hatimu dan tidak bersedia untuk dilihat orang."                                                  - Riwayat Muslim dan al-Tirmidzi -    

        Dalam hadith di atas, Rasulullah SAW memberikan keterangan tentang perbuatan baik dan perbuatan dosa. Dalam keterangan tersebut, Baginda SAW telah menyimpulkan erti perbuatan baik itu dalam istilah akhlaq yang mulia.

        Ini memberi erti bahawa akhlaq yang mulia itu ialah suatu sifat yang bergandingan dengan sifat taqwa, atau pun suatu sikap atau sifat yang dilahirkan oleh rasa taqwa dalam hati seseorang kepada Allah.

        Oleh sebab taqwa itu suatu unsur asasi dalam mendapat keredhaan Allah, maka akhlaq yang mulia juga merupakan syarat bagi seseorang itu mendapat keredhaan Allah Azza Wa Jalla. Hakikat ini diterangkan oleh hadith berikut: 

Daripada Abu Hurairah (RA) katanya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah ditanya sesuatu yang paling banyak memasukan manusia kedalam syurga, maka beliau bersabda: “Bertaqwa kepada Allah dan kemulian akhlaq”,kemudian beliau ditanya tentang sesuatu yang paling banyak menjerumuskan manusia kedalam neraka, maka beliau menjawab: “Mulut dan kemaluan”.                                                                                                                     - Riwayat al-Tirmidzi (4/363) -         

         Malah, dalam suatu hadis lain Rasulullah SAW menyifatkan kebaikan akhlaq sebagai satu gejala keunggulan insan bagi seseorang itu. Abu Hurairah telah meriwayatkan hadith berikut:

"Orang-orang Mu'min yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya."                                                                                                                          Riwayat Abu Daud -    

         Pengertian yang hampir sama telah juga dibayangkan oleh hadith-hadith berikut:

Daripada Abu al-Darda' (RA) bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Tidak ada suatu pun yang lebih timbangan orang Mu'min pada hari kiamat selain daripada kemuliaan akhlaq. Sesungguhnya Allah bencikan perbuatan keji dan kata-kata tercela."                                                                                                                                                -Riwayat al-Tirmidzi -

“Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi di antara kalian dan yang paling dekat kedudukannya denganku di hari kiamat kelak adalah orang yang terbaik akhlaqnya."'                                                                                      -Riwayat al-Tirmidzi -     

Daripada seorang lelaki dari Mazinah, katanya, mereka berkata, "Hai Rasulullah, apakah perkara paling baik pernah diberikan kepada manusia?" Sabda Rasulullah SAW: "Akhlaq yang baik."                                                                    -Riwayat al- Baihaqi -    

        Al- Imam Ghazali dalam kitabnya, Ihya' 'Ulumiddin, mentakrifkan akhlaq sebagai suatu sikap yang mendalam di dalam diri manusia. Daripadanyalah lahir bentuk-bentuk perbuatan secara spontan. Kalau sikap ini melahirkan tindak-tanduk serta perbuatan lahir yang baik sama ada dari segi akal atau syarak, sikap itu disebut sebagai akhlaq yang baik. Sebaliknya, kalau yang lahir daripadanya itu perbuatan yang buruk maka sikap itu disebut sebagai akhlaq yang buruk.
       Lebih lanjut al-Imam Ghazali mengulas: Perlunya sikap seperti itu suatu yang mendalam adalah kerana ada kemungkinan orang berbelanja dengan banyaknya bukan kerana sifat pemurah yang tersemat dalam hatinya, tetapi kerana ada keperluan lain yang menyebabkan dia berbuat demikian. Begitu juga, segala perbuatan yang lahir itu perlu berbentuk spontan dan tidak payah melalui proses pemikiran yang panjang kerana seseorang yang terpaksa berfikir panjang sebelum membuat apa-apa sumbangan, misalnya, tidak boleh dianggap pemurah. Begitu juga seorang yang terpaksa menekan perasaannya untuk tidak melahirkan kemarahannya tidak boleh disifatkan sebagai penyabar.

       Mengikut al-Imam Ghazali lagi, akhlaq bukan perbuatan lahir kerana mungkin seseorang itu sifatnya pemurah tetapi tidak menderma kerana sebab-sebab kewangan atau sebagainya. Sebaliknya pula, mungkin seseorang itu bersifat kedekut tetapi telah menderma dengan banyak sekali kerana mahu dipuji orang, misalnya.

        Mengikut beliau lagi, akhlaq juga bukan ilmu atau pengetahuan tentang kebaikan dan keburukan. Tegasnya, akhlaq itu ialah suatu tabiat peribadi yang menentukan corak tindak-tanduk seseorang itu dalam hidupnya.

"Perbuatan baik itu ialah berakhlaq mulia, dan perbuatan dosa itu ialah apa yang kamu pendamkan (perkara yang menyebabkan kegusaran) dalam hatimu dan tidak bersedia untuk dilihat orang."     

Bab 2: Perlunya Niat Dalam Segala Amal Soleh.
Thursday, January 09, 2014 AT 3:34 PM
 Sesungguhnya tujuan hamba dalam melakukan ibadah dan amal perbuatan yang dianjurkan oleh agama dan amal perbuatan duniawi adalah mencari redha Allah SWT dan mendapatkan keuntungan berupa pahala dari Allah SWTm untuk kemudian masuk ke dalam syurga yang penuh kenikmatan di akhirat. Ini merupakan bukti yang jelas bahawa niat yang baik diikuti dengan perbuatan yang baik pula dan bahawa kekalnya pengaruh dan namanya sentiasa bagi orang-orang yang mengetahui dan bekerja bergantung kepada niat dan maksud baiknya, serta kejujuran manusia kepada Tuhannya dan dirinya.

      Ini berbeza dengan keadaan di medan latihan dan dalam kehidupan duniawi, di mana apabila seseorang bekerja untuk kepentingan umatnya, kemudian dia ikhlas dalam melakukan usaha itu, maka itu akan diterima di dalam hati sang hamba dan mereka akan mengenangnya dan menjaga nama baiknya sepanjang sejarah. Dengan demikian, ibadah yang dilakukan dengan ikhlas merupakan bukti dan petunjuk untuk sentiasa mengedepankan ikhlas dalam melakukan pekerjaan-pekerjaan duniawi juga. Inilah yang kita temui dalam al-Qur'an dan hadith Nabi SAW ketika menggalakkan untuk berjihad di jalan Allah SWT dan menggalakkan orang-orang yang berperang untuk berjihad dengan bersungguh-sungguh dan berani ketika menghadapi musuh.    
    
                    Allah SWT berfirman:

9:19


Maksudnya: "Adakah kamu sifatkan perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji, dan memakmurkan Masjid al-Haram  itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka tidaklah sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim"   (at-Taubah [9]-19)

         Allah SWT juga berfirman:

9:24



Maksudnya: "Katakanlah: Jika bapa-bapa mu, anak-anak mu, saudara-saudara mu, isteri-isteri mu, kaum keluarga mu dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbangkan akan merosot, dan rumah-rumah  tempat tinggal yang kamu sukai, menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya; kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik."  (at-Taubah [9]-24)

        Sesungguhnya perbezaan antara orang-orang yang berjihad dengan ikhlas dan pekerjaan-pekerjaan-pekerjaan yang lain selain jihad sangat besar sekali. Dengan jihad, umat ini akan menjadi mulia dan kalimah-Nya menjadi tinggi, kekuatan Islam semakin bertambah dan hak-hak-Nya akan terlindung, sehingga akan tercipta keselamatan, perdamaian dan kestabilan baik di luar mahupun di dalam. Apabila dibandingkan antara jihad dan perbuatan-perbuatan kehidupan duniawi lainnya, akan tampak perbezaan yang sangat jauh sebagaimana jauhnya langit dan bumi.

      Sunnah Nabi SAW menegaskan pentingnya adanya keikhlasan dalam berjihad, kerana hal itu merupakan kekayaan yang membuat Islam berjaya atau kekayaan yang paling berharga. Maka dari itu, Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud;

Dari Abu Hurairah (ra): "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badan-badan kamu dan juga bukan kepada bentuk kamu, akan tetapi Allah melihat kepada hati kamu."

     Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy'ari (ra), ia berkata;

"Nabi SAW ditanya tentang orang yang berperang kerana berani dan berperang kerana ingin melindungi harta serta berperang kerana riak, di mana antara mereka berperang di jalan Allah? Maka Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang berperang agar agama kalimah Allah menjadi tinggi, maka ia berada di Jalan Allah."

   Kemudian Bukhari dan Muslim juga meriwayatkan dari Abu Bakrah Nufai' bin al-Harits at-Tsaqfi (ra), bahawa Nabi SAW bersabda:

"Apabila kedua orang Muslim berjumpa dengan pedangnya, maka baik yang membunuh mahupun yang dibunuh masuk neraka." Saya bertanya; "Wahai Rasulullah, sungguh kalau yang membunuh, tapi bagaimana dengan yang dibunuh?." Baginda bersabda: "Sesungguhnya ia berusaha untuk membunuh temannya (lawannya)."

    Makna hadis pertama; "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badan-badan kamu," menunjukkan bahawa yang diberi pahala dari suatu pekerjaan adalah apa yang terdapat dalam hati seperti keikhlasan dan niat yang benar. Sebab sebenar-benarnya pekerjaan yang diterima di sisi Allah bergantung pada adanya niat yang baik dan maksud yang bersih, serta tujuan yang benar untuk Allah. Makna ini ditegaskan dalam hadis kedua; "Barang siapa yang berperang agar kalimah menjadi tinggi ...," yang menjelaskan bahawa penerimaan pekerjaan di sisi Allah adalah berdasarkan niatnya yang baik dan bahawasanya keutamaan orang yang berjihad di jalan Allah tampak ketika berperang untuk menegakkan kalimah Allah, kalimah tauhid, kalimah kebenaran dan kalimah keadilan.

    Sedangkan hadis, "Apabila dua orang Muslim bertemu dengan kedua pedangnya," menunjukkan wajibnya diberi hukuman bagi setiap orang yang di dalam hatinya terdapat niat berbuat maksiat dan berusaha melaksanakan niat jahatnya tersebut, kemudian melakukan sebab-sebab yang menghantarkannya pada tujuan buruknya, baik tujuan itu tercapai atau tidak.

    Ini merupakan peringatan bagi setiap pembunuhan dalaman yang dilakukan antara sesama kaum Muslimin sendiri. Sebab pembunuhan seperti ini merupakan pembunuhan yang bersumber dari permusuhan dan mensia-siakan potensi umat, bahkan menciptakan perasaan saling membenci dan dengki antara anak-anak buta mereka serta kesesatannya yang kelam.

     Kemudian apabila dibandingkan antara Qur'an dan hadis dalam membicarakan tentang niat baik, akan nampak lagi orang melihatnya bahawa Qur'an mengutamakan darjat jihad dan tingginya kedudukan orang-orang yang berjihad, dan bahawasanya jihad tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa pun  di dunia dari ikhtiar mendekatkan diri kepada Allah, termasuklah jika dibandingkan dengan pengaruh fitnah dunia kerana kecintaan terhadap harta dan perdagangan, serta istana dan tempat-tempat yang mewah.

     Jika hadis di atas memfokuskan kepada pengaruh murninya niat dan tujuan, menghindarkan dari bahaya dunia dan kenikmatannya yang sementara, sebagaimana juga memperingatkan agar tidak saling membunuh dengan sesama kaum Muslimin sehingga kekuatan mereka menjadi berkurang dan mudah dihancurkan oleh musuh-musuh mereka di luar.
Terkenal di Langit - UAQ.
Wednesday, January 01, 2014 AT 10:48 AM
Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup tampan.
Kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya. Tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya.
Ahli membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya sebagai selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam kalangan manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.
Tatkala datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah diseru untuk memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu seketika dan disuruh memberi syafa’atnya.
Ternyata Allah memberi izin padanya untuk memberi syafa’at bagi sejumlah bilangan qabilah Robi’ah dan qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada seorang pun ketinggalan dengan izin-Nya.
Dia adalah ‘Uwais al-Qarni’ siapalah dia pada mata manusia…
Tidak banyak yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok dan mempermainkan hatinya.
Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai seorang yang membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam umpatan demi umpatan, celaan demi celaan daripada manusia.
Suatu ketika, seorang fuqoha’ negeri Kuffah, datang dan ingin duduk bersamanya. Orang itu memberinya dua helai pakaian sebagai hadiah. Namun, hadiah pakaian tadi tidak diterima lalu dikembalikan semula kepadanya. Uwais berkata:
“Aku khuatir, nanti orang akan menuduh aku, dari mana aku mendapatkan pakaian itu? Kalau tidak daripada membujuk pasti daripada mencuri.”
Uwais telah lama menjadi yatim. Beliau tidak mempunyai sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh tubuh badannya. Hanya penglihatan kabur yang masih tersisa.
Bagi menampung kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Apabila ada wang berlebihan, Uwais menggunakannya bagi membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan.
Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya. Dia tetap melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.
Uwais al-Qarni telah memeluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.
Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya menarik hati Uwais. Apabila seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran.
Banyak tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.
Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.
Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengan sang kekasih. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah ibunya yang sedang sakit dan perlu dirawat. Siapa yang akan merawat ibunya sepanjang ketiadaannya nanti?
Diceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah S.A.W mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini sampai ke pengetahuan Uwais.
Dia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihatnya.
Hari berganti dan musim berlalu, dan kerinduan yang tidak terbendung dan hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya dalam hati, “Bilakah ia dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dengan dekat?”
Bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan perhatian daripadanya dan tidak sanggup meninggalkan ibunya sendiri. Hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah.
Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya. Dia meluahkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan untuk pergi menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.
Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau amat faham hati nurani anaknya, Uwais dan berkata,
“Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang.”
Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.
Sesudah siap segala persediaan, Uwais mencium sang ibu. Maka berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang empat ratus kilometer dari Yaman.
Medan yang begitu panas dilaluinya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam hari. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.
Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah Nabi S.A.W, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah sayyidatina ‘Aisyah R.A sambil menjawab salam Uwais.
Segera sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata baginda tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang.
Bilakah beliau pulang? Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.
“Engkau harus lekas pulang.”
Atas ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W.
Dia akhirnya dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina ‘Aisyah R.A ke negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W dan melangkah pulang dengan hati yang pilu.
Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit dan sangat terkenal di langit.
Mendengar perkataan baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina ‘Aisyah R.A dan para sahabatnya terpegun.
Menurut sayyidatina ‘Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya.”

 Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:

“Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi.”

Tahun terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W wafat, hinggalah sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah digantikan dengan Khalifah Umar R.A.
Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali K.W untuk mencarinya bersama.
Sejak itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, mereka berdua selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama mereka. Di antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya yang terjadi sampai ia dicari oleh beliau berdua.
Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.
Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, segera khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka.
Rombongan itu mengatakan bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau berdua bergegas pergi menemui Uwais al-Qarni.
Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W memberi salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman.
Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk
membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais,
sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi S.A.W.
Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,
“Siapakah nama saudara?”
“Abdullah.” Jawab Uwais.
Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan,
“Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?”
Uwais kemudian berkata “Nama saya Uwais al-Qarni.”
Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia.
Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka.
Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,
“Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian.”
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,
“Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda.”
Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.
Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais menolak dengan halus dengan berkata,
“Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.
Namun, ada seorang lelaki pernah bertemu dan dibantu oleh Uwais. Ketika itu kami berada di atas kapal menuju ke tanah Arab bersama para pedagang. Tanpa disangka-sangka angin taufan berhembus dengan kencang.
Akibatnya, hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di pojok kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya.
Lelaki itu keluar daripada kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.
“Wahai waliyullah, tolonglah kami!” Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,
“Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!”
Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata,
“Apa yang terjadi?”
“Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dihembus angin dan dihentam ombak?” Tanya kami.
“Dekatkanlah diri kalian pada Allah!” Katanya.
“Kami telah melakukannya.”
“Keluarlah kalian daripada kapal dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim!”
Kami pun keluar daripada kapal satu persatu dan berkumpul. Pada saat itu jumlah kami lima ratus lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut.
Lalu orang itu berkata pada kami,
“Tidak apalah harta kalian menjadi korban, asalkan kalian semua selamat.”
“Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan?” Tanya kami.
“Uwais al-Qorni.” Jawabnya dengan singkat.
Kemudian kami berkata lagi kepadanya,
“Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir.”
“Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?” Tanyanya.
“Ya!” Jawab kami.
Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdoa. Setelah Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah, tiada satu pun yang tertinggal.
Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya.
Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.
Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
“Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang daripada menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur tersebut untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada bekas di kuburnya.”
(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)
Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.
Sejak dia dimandikan hingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.
Mereka saling bertanya-tanya “Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?”
“Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya.”
Agaknya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.
“Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit.” 
Bab 1: "Keikhlasan Ketika Berniat."
Sunday, September 22, 2013 AT 2:53 PM
          Semua amal perbuatan dan perkataan yang diperintahkan oleh agama dan keadaan-keadaan yang nampak mahupun tersembunyi bergantung kepada niat yang ikhlas kepada Allah s.w.t. tanpa sedikit pun diiringi perasaan nifak dan riak atau untuk menjaga nama baik atau wibawa atau kerana suka menampakkan diri. Maka sesungguhnya niat dan maksud yang tidak baik ini akan menggugurkan pahala dan ganjaran dari Allah s.w.t., menghalang penerimaan amal atau perkataan di sisi Allah s.w.t.


          Kerana itu, seorang Muslim hendaklah membaiki niatnya dalam pekerjaannya semata-mata kerana Allah s.w.t. dan sentiasa menjaga kebersamaan dengan Allah s.w.t. baik secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan. Sebab mengalihkan niat kepada selain Allah s.w.t. dalam pekerjaan apa pun tidak mendatangkan sesuatu apa pun dari kebaikan dan juga tidak membawa manfaat. Hal itu tidak lain, kerana semua urusan makhluk berada dalam kekuasaan Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Berkuasa dan bukan berada di tangan seseorang dari hamba-Nya yang lemah untuk mendapatkan sesuatu tanpa kehendak dari Allah s.w.t. dan kekuasaan-Nya atau dipermudahkan dan direstui-Nya. Allah s.w.t. berfirman dengan mafhumnya menjelaskan tentang keikhlasan dalam niat:

98:5

Maksudnya: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberikan zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar."

(Al-Bayyinah [98] - 5)


      Allah s.w.t. juga berfirman dalam ayat lain yang menerangkan tentang wajibnya niat kepada Allah ketika menyembelih haiwan dan korban;


22:37

Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi mu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepada mu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya."

(A-Hajj [22- 37)


     Allah s.w.t. juga berfirman menerangkan bahawa Dia mengetahui yang nampak dan tersembunyi di dalam hati;

3:29

Maksudnya: "Katakanlah: Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Ali 'Imran [3] - 29)

      Ayat ini menunjukkan bahawa ikhlas kepada Allah dalam perbuatan dan perkataan merupakan syarat penerimaan perbuatan dan perkataan itu. Sebab, Allah tidak menerima perbuatan kecuali dikerjakan secara ikhlas kepada-Nya. Dalam ini, para Ulama' sepakat menyatakan bahawa niat adalah syarat dalam melaksanakan ibadah, sehingga berimpak pada tercapainya pahala yang diharapkan. Mereka juga sepakat bahawa niat itu tempatnya di dalam hati.
   
      Adapun erti niat secara bahasa adalah maksud dan tidak disyaratkan untuk mengucapkannya. Sedangkan kebergantungan sahnya amal perbuatan kepada niat, maka dalam hal ini Ulama' berbeza pendapat. Maka golongan seperti mazhab Syafi'e berpendapat bahawa niat adalah syarat dalam setiap perantara ibadah seperti dalam wudhuk, dalam solat dan pekerjaan-pekerjaan itu sahnya bergantung kepada niat. Golongan yang lain seperti mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat itu merupakan syarat sahaja dalam maksud-maksud ibadah dan bukan perantara, itu sahnya tidak bergantung kepada niat. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah bahawa kesempurnaan pekerjaan-pekerjaan itu bergantung kepada niat.

      Apa yang jelas, Allah s.w.t. menggalakkan untuk berniat dalam kebaikan secara mutlak dalam setiap perbuatan, perkataan dan keadaan. Dan kerana Allah s.w.t. memberi pahala atas niat yang dilakukannya dan menjadikannya dalam timbangan keutamaan amal dan darjat di akhirat. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Umar bin Khattab RA, ia berkata;

"Saya mendengar Rasulullaw s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya pekerjaan-pekerjaan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang mendapatkan apa yang diniatkan. Kerana itu, barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kepada dunia yang didapatkannya atau wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang diniatkannya." (Muttafaq alaih)

      Imam Nawawi (RA) berkata;

"Yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah dalam perbuatan-perbuatan yang berupa ketaatan kepada Allah (SWT), dan bukan perbuatan-perbuatan yang mubah."

    Al-Harits al-Hatsimi juga berkata;

"Ikhlas tidak masuk dalam sesuatu yang mubah, kerana tidak mengandungi unsur mendekatkan diri kepada Allah dan tidak menyebabkan kedekatan kepada Allah, seperti membuat bangunan dengan niat untuk dapat berteduh. Sedangkan apabila untuk tujuan seperti Masjid atau jambatan, maka ini hukumnya sunah."

    Imam Nawawi kemudian berkata;

"Tidak ada keikhlasan pada hal-hal yang diharamkan atau makruh, sebagaimana melihat kepada apa yang tidak halal untuk dilihat, kemudian berdalil bahawa ia melihatnya untuk bertafakur tentang ciptaan Allah, seperti milihat anak muda, di mana dalam pandangan itu tidak ada keikhlasan di dalamnya, dan juga tidak ada ikhtiar mendekatkan diri kepada Allah sama sekali. Sebab ikhlas adalah mutiara Ibadah."

    Razin meriwayatkan daripada Ibnu Abbas (RA), bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Barang siapa yang ikhlas kepada Allah sebanyak 40 kali pada pagi, maka akan tampak sumber hikmah dari hatinya yang mengalir melalui lisannya."

    Sedangkan pekerjaan-pekerjaan yang perlu ditinggalkan seperti menghilangkan najis, mengembalikan barang yang di ghasab atau pinjaman atau memberikan hadiah dan lainnya, maka sahnya tidak bergantung pada niat yang membenarkannya, akan tetapi bergantung kepada niat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Di antara contohnya adalah apabila ia memberi makan kepada haiwan, maka apabila ia memberikan makan kerana melaksanakan perintah Allah SWT, ia mendapat pahala, dan apabila pemberian itu untuk menjaga hartanya, maka ia tidak mendapatkan pahala, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Qarafi.

    Jadi dari ayat dan hadis tentang niat ini jelas, bahawa  Allah SWT menggalakkan niat kepada-Nya dan bahawasanya ikhlas dalam berniat merupakan kunci penerimaan amal perbuatan di sisi Allah SWT. Sehingga apabila tidak ada niat yang baik dari amal perbuatan dan tidak diarahkan untuk mendapatkan redha Allah SWT, maka amal perbuatan itu tidak dapat mencapai tujuannya, iaitu diterima di sisi Allah SWT.

    Kerana itu, hadis; "Sesungguhnya amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya," menunjukkan bahawa sahnya amal perbuatan atau sahnya perbuatan dan perkataan atau sempurnanya perbuatan itu, bergantung kepada niatnya. Sedangkan yang dimaksudkan sabda Nabi SAW; "Dan setiap orang mendapatkan apa yang diniatkan," adalah ketentuan berhasilnya suatu perbuatan bergantung niatnya, sebagaimana yang dikatakan oleh al-Khattabni. Imam Nawawi berkata;

"Menentukan apa yang diniatkan adalah syarat, seperti berniat melaksanakan solat yang telah berlalu baik solat Zohor, Asr' dan lainnya."


TRILOGI KISAH SURAH AL-KAHFI: ASHABUL KAHFI (PART 3/ BHG 3)
Monday, August 12, 2013 AT 8:23 AM
Sambungan yang lepas;

Mahkota Raja:

Pendeta itu berdiri sambil berkata,    

"Jika kamu benar-benar tahu, cuba terangkan kepadaku daripada apakah mahkota itu dibuat?"

 Ali bin Abi Thalib menerangkan,   

"Mahkota raja itu diperbuat daripada kepingan-kepingan emas, berkaki sembilan buah dan setiap kakinya bertaburan mutiara yang memancarkan cahaya laksana bintang-bintang menerangi kegelapan malam. 

   Raja itu juga mempunyai 50 orang pelayan yang terdiri daripada anak-anak hulubalang. Semuanya memakai selempang dan baju sutera berwarna merah dan celana mereka juga diperbuat daripada sutera berwarna hijau. Semuanya dihias dengan gelang-gelang kaki yang sangat indah. Masing-masing diberi tongkat yang diperbuat daripada emas. Mereka harus berdiri di belakang raja. Selain mereka, raja juga mempunyai enam orang yang terdiri daripada anak-anak para cendekiawan untuk dijadikan menteri-menteri atau pembantu-pembantunya

Raja tidak mengambil sesuatu keputusan tanpa berunding terlebih dahulu dengan mereka. Enam orang pembantu itu selalu berada di kanan dan kiri raja, tiga orang berdiri di sebelah kanan dan tiga orang lagi berdiri di sebelah kiri."

6 Orang Pembantu Raja;

Pendeta itu bertanya lagi,

"Hai Ali, jika yang kau katakan itu benar cuba sebutkan nama enam orang yang menjadi pembantu-pembantu raja itu."

 Ali bin Abi Thalib menjawab,

"Kekasihku Muhammad s.a.w. menceritakan kepadaku bahawa tiga orang yang berdiri di sebelah kanan raja bernama Tamlikha, Miksalmina, Mikhaslimina. Tiga orang pembantu yang berdiri di sebelah kiri raja bernama Martelius, Casitius dan Sidemius. Raja akan berunding dengan mereka  mengenai segala urusan.

Setiap hari raja duduk dalam serambi istana dan dikerumuni oleh semua hulubalang dan para pengawai, maka masuklah tiga orang pelayan menghadap raja. Seorang antara mereka membawa piala emas yang berisi penuh wangian murni. Seorang lagi membawa piala perak yang berisi penuh air sari bunga dan seorang lagi membawa burung.

Pelayan yang membawa burung ini mengeluarkan suara isyarat lalu burung itu terbang di atas piala yang berisi air sari bunga dan burung itu berkecimpung di dalamnya dan mengibas-ngibaskan sayap serta bulunya sehingga sari bunga itu habis dipercikkan ke semua tempat sekitarnya.

Kemudian pelayang pembawa burung tadi  mengeluarkan suara isyarat lagi. Burung itu terbang lalu hinggap di atas piala yang berisi wangian murni. Burung itu berkecimpung di dalamnya dan mengibas-ngibaskan sayap dan bulunya sehingga ke tempat sekitarnya. Pelayan pembawa burung itu memberi suara isyarat lagi dan burung itu lalu terbang  

serta hinggap di atas mahkota raja sambil membentangkan kedua sayap yang harum semerbak di atas kepala raja.

 Raja mengaku Tuhan:

Demikian raja itu berada di atas singgahsana kekuasaan selama 30 tahun. Dalam tempoh tersebut, Raja Diqyanus tidak pernah diserang sebarang penyakit dan tidak pernah merasa sakit kepala, sakit perut, demam, meludah ataupun berhingus. Disebabkan Raja Diqyanus merasakan dirinya sihat dan kuat, dia mula berasa bongkak, derhaka dan zalim. Dia mengaku dirinya sebagai Tuhan dan tidak maku mengaku adanya Allah s.w.t.

Raja Diqyanus kemudian memanggil orang-orang terkenal daripada rakyatnya. Sesiapa yang taat dan patuh kepadanya akan diberi pakaian dan pelbagai hadiah. Sesiapa yang tidak mahu taat atau tidak bersedia mengikuti kemahuannya akan dibunuh. Oleh sebab itu, semua orang terpaksa mengikut kemahuannya. Dalam masa yang cukup lama, semua orang patuh kepadanya sehingga dia disembah dan dipuja. Mereka tidak lagi menyembah Allah s.w.t.

Pada hari perayaan ulang tahunnya, Raja Diqyanus sedang duduk di atas singgahsana dan mengenakan mahkota di atas kepala. Tiba-tiba masuk hulubalang memberitahu bahawa ada bala tentera asing masuk menyerbu ke dalam wilayah kerajaannya dengan bermaksud ingin melancarkan peperangan terhadap kerajaan Raja Diqyanus. Raja Diqyanus merasa sedih dan binggung sehingga tanpa disedari mahkota yang sedang dipakainya terjatuh daripada kepalanya. Kemudian Raja Diqyanus sendiri jatuh terpelanting dari atas singgahsana. Salah seorang pembantu yang berdiri di sebelah kanan iaitu Tamlikha memerhatikan keadaan Raja Diqyanus sambil berfikir dan dia berkata dalam hatinya, "Kalau Raja Diqyanus benar-benar Tuhan seperti apa yang diakuinya tentu dia tidak akan sedih dan tidak tidur, tidak membuang air kecil ataupun air besar. Itu semua bukan sifat-sifat Tuhan."

Pencarian Pencipta sebenar;
Enam orang pembantu Raja Diqyanus itu setiap hari akan mengadakan pertemuan di tempat seorang daripada mereka secara bergilir-gilir. Pada suatu hari, tiba giliran Tamlikha menerima kunjungan lima orang temannya. Mereka berkumpul di rumah Tamlikha untuk makan dan minum tetapi Tamlikha sendiri tidak ikut makan dan minum. Teman-temannya  bertanya mengapa Tamlikha tidak mahu makan dan minum. Tamlikha mengatakan bahawa hatinya sedang risau akan sesuatu perkara yang membuatkan dia tidak makan, minum dan juga tidak tidur. Teman-temannya terus bertanya tentang perkara yang merisaukan hatinya.

Tamlikha menjelaskan;    

"Sudah lama aku memikirkan soal langit. Aku lalu bertanya kepada diriku sendiri, siapakah yang mengangkatnya ke atas sebagai atap yang sentiasa aman dan terpelihara tanpa pergantungan dari atas dan tanpa tiang yang menyokongnya dari bawah? Siapakah yang mengerakkan matahari dan bulan di langit itu? Siapakah yang menghias langit dengan bintang-bintang yang bertaburan?

Kemudian aku memikirkan juga bumi ini, siapakah yang membentangkan dan menghamparkannya di cakerawala? Siapakah yang menahannya dengan gunung-ganang agar tidak goyah, tidak goncang dan tidak condong? Aku juga lama memikirkan tentang diriku sendiri, siapakah yang mengeluarkan aku sebagai bayi dari perut ibuku? Siapakah yang memelihara hidupku dan memberi makan kepadaku? Semua itu pasti ada yang membuat dan sudah pasti bukan Raja Diqyanus".

 Teman-teman Tamlikha  terus berlutut di hadapannya. Dua kaki Tamlikha dicium sambil berkata,   

"Wahai Tamlikha, dalam hati kami sekarang terasa sesuatu seperti yang ada dalam hatimu maka tunjukkanlah jalan keluar bagi kita semua".

 Tamlikha menjawab;

"Teman-temanku sekalian, baik aku mahupun kalian tidak menemui jalan selain harus lari meninggalkan raja yang zalim itu, pergi kepada Raja Pencipta langit dan bumi".

 Teman-teman Tamlikha bersetuju dengan pendapatnya.

Berangkat pergi;
Tamlikha lalu berdiri terus beransur pergi menjual buah kurma dan akhirnya berhasil mendapatkan wang sebanyak 3 dirham. Wang itu kemudian diselipkan di dalam poket bajunya. Dia terus berangkat bersama 5 orang temannya dengan berkenderaan kuda meninggalkan Raja Diqyanus yang zalim itu

   Selepas berjalan 3 batu jauhnya dari kota, Tamlikha berkata kepada teman-temannya, 

"Teman-temanku, kita sekarang sudah terlepas dari raja dunia dan kekuasaannya. Sekarang turun kalian dari kuda dan marilah kita berjalan kaki. Mudah-mudahan Allah s.w.t. akan memudahkan urusan kita serta memberikan jalan keluar".

 Mereka turun dari kuda masing-masing dan berjalan kaki sejauh tujuh farsakh sehingga kaki mereka bengkak berdarah kerana tidak pernah berjalan sejauh ini.

Info penting:  

-Mil ialah ukuran jarak yang bersamaan dengan 1760 ela, sebatu

Farsakh ialah ukuran panjang yang sama dengan 3 batu atau 4.8 kilometer

Sudah sampai penghujung bagi bahagian 3, insyaAllah akan bersambung lagi pada masa akan datang.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Trilogi Kisah Surah Al-Kahfi: Ashabul Kahfi (Part 2/ Bhg 2)
Tuesday, June 04, 2013 AT 10:49 AM
Sambungan post yang lepas:

Ali menjawab

Pendeta-pendeta Yahudi mengulangi pertanyaan-pertanyaan mereka. Sebelum menjawab pertanyaan pendeta-pendeta Yahudi itu, Ali Bin Abi Thalib berkata,

"Aku ingin mengajukan suatu syarat kepada kalian iaitu jika ternyata aku sudah menjawab pertanyaan-pertanyaan kalian sesuai dengan apa yang ada dalam Taurat, kalian mesti bersedia memeluk agama kami dan beriman".

Mereka bersetuju dengan syarat tersebut dan Ali bin Abi Thalib meminta mereka menanyakan pertanyaan tersebut satu persatu.

          Mereka mula bertanya, 

"Apakah induk kunci (gembok) yang mengunci pintu langit?."

Ali bin Abi Thalib  menjawab,

"Ibu kunci itu ialah syirik kepada Allah s.w.t. kerana semua hamba Allah s.w.t. sama ada lelaki ataupun perempuan, jika mereka syirik kepada Allah s.w.t., amalannya tidak akan naik sampai kepada Allah s.w.t.".

           Para pendeta Yahudi bertanya lagi,

"Apakah anak kunci yang dapat membuka pintu-pintu langit?".

 Ali bin Abi Thalib menjawab,

"Anak kunci itu ialah kesaksian (syahadat) bahawa tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan Muhammad adalah Rasul Allah".

            Para pendeta Yahudi itu saling pandang-memandang di antara mereka sambil berkata,

"Orang itu benar juga".

Mereka bertanya lagi,

"Terangkan kepada kami tentang sebuah kubur yang dapat berjalan bersama penghuninya".

Ali bin Abi Thalib menjawab, 

"Kubur itu ialah Ikan Nun yang menelan Nabi Yunus a.s. putera Matta. Nabi Yunus a.s. dibawa mengelilingi tujuh samudera".

            Pendeta-pendeta itu meneruskan pertanyaan mereka lagi,

"Jelaskan kepada kami tentang makhluk yang dapat memberi peringatan kepada bangsanya tetapi makhluk itu bukan manusia dan bukan jin".

Ali bin Abi Thalib  menjawab,

"Makhluk itu ialah semut Nabi Sulaiman a.s. putera Nabi Daud a.s.. Semut itu berkata kepada kaumnya, "Hai para semut, masuk ke dalam tempat kediaman kalian supaya tidak diinjak-injak oleh Sulaiman dan pasukannya dalam keadaan mereka tidak sedar."

            Kemudian  para pendeta Yahudi itu bertanya lagi, 

"Beritahu kepada kami  tentang lima jenis makhluk yang berjalan di atas permukaan bumi tetapi tiada satu pun di antara makhluk-makhluk itu yang dilahirkan dari kandungan ibunnya ada induknya".

Ali bin Abi Thalib menjawab, 

"Lima makhluk itu ialah pertama, Adam. Kedua, Hawa. Ketiga, unta Nabi Soleh. Keempat, kambing Nabi Ibrahim. Kelima, tongkat Nabi Musa yang menjelma menjadi ular".

            Setelah mendengar jawapan-jawapan serta penjelasan yang diberikan oleh Saidina Ali r.a., dua daripada tiga orang pendeta Yahudi itu lalu berkata, 

"Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan Muhammad ialah Rasul Allah".

Tetapi seorang pendeta bangun berdiri sambil berkata kepada Ali bin Abi Thalib,

"Wahai Ali, hati teman-temanku sudah dihinggapi oleh sesuatu yang sama seperti iman dan keyakinan mengenai benarnya agama Islam. Sekarang masih ada satu lagi hal yang ingin aku tanyakan kepada engkau".

Ali bin Abi Thalib meminta pendeta Yahudi itu menanyakan apa sahaja soalan yang diinginkan.

Ali menceritakan Kisah Ashabul Kahfi 

"Cuba terangkan kepadaku mengenai sejumlah orang yang pada zaman dahulu sudah mati selama 309 tahun kemudian dihidupkan kembali oleh Allah s.w.t.. Bagaimanakah cerita tentang mereka itu?" 

tanya pendeta Yahudi itu.
           Ali bin Abi Thalib menjawab,

"Wahai pendeta Yahudi, mereka itu adalah para penghuni gua. Hikayat mereka dikisahkan oleh Allah s.w.t. kepada RasulNya. Aku akan ceritakan kisah mereka itu jika kamu mahu".

Pendeta Yahudi itu menjawab,

"Aku sudah banyak mendengar tentang al-Qur'an kalian itu. Jika engkau benar-benar tahu, cuba sebutkan nama-nama mereka, nama ayah-ayah mereka, nama kota mereka, nama raja mereka, nama anjing mereka, nama gunung serta gua mereka dan semua kisah mereka dari awal hingga akhir".

            Ali bin Abi Thalib kemudia membetulkan duduknya, menekuk lutut ke depan perut lalu dilonggarkan burdah yang diikatkat ke pinggang. Lalu Ali bin Abi Thalib berkata,


"Wahai saudar Yahudi, Muhammad Rasulullah s.a.w., kekasihku menceritakan kepadaku bahawa kisah itu berlaku di negeri Romawi di sebuah kota bernama Aphesus atau disebut juga dengan nama Tharsus. Tetapi nama kota itu pada zaman dahulu ialah Aphesus (Ephese). Selepas Islam datang, kota itu berubah nama menjadi Tharsus (Tarse, sekarang terletak di dalam wilayah Turki). 

Penduduk negeri itu dahulunya mempunyai seorang raja yang baik. Setelah raja itu meninggal dunia, berita kematiannya didengar oleh seorang raja Persia bernama Diqyanus. Dia ialah seorang raja kafir yang amat bongkak dan zalim. Dia datang menyerbu negeri itu dengan kekuatan pasukannya dan akhirnya berhasil menguasai kota Aphesus. Kemudian kota itu dijadikan ibu kota kerajaan dan didirikan sebuah istana". 

Bentuk Istana 

Pendeta Yahudi itu berdiri dan terus bertanya,

"Jika kamu benar-benar tahu, cuba terangkan kepadaku bentuk istana itu, bagaimana serambi dan ruang-ruangannya?".

Ali bin Abi Thalib menerangkan,

"Wahai saudara Yahudi, raja itu mendirikan istana yang sangat megahdiperbuat daripada batu marmarPanjangnya satu farsakh iaitu bersamaan 8 km dan lebarnya pun satu farsakh.

Tiang Serinya yang berjumlah seribu buah, semuanya diperbuat daripada emas dan lampu-lampu bergantungan pada rantai-rantai yang diperbuat daripada perak. Setiap malam, apinya dinyalakan dengan sejenis minyak yang harum baunya. Di sebelah timur serambi, dibuat lubang-lubang cahaya sebanyak seratus buahdemikian juga di sebelah baratnyaSerambi dapat diterangi bermula dari matahari naik hingga terbenam matahariRaja Diqyanus membuat sebuah singgahsana daripada emas. Panjangnya 80 hasta dan lebarnya 40 hasta.

Di sebuah kanannya, tersedia 80 buah kerusi yang diperbuat daripada emas dan di situlah para hulubalang kerajaan duduk. Di sebelah kirinya pula, disediakan 80 buah kerusi yang di perbuat daripada emas untuk diduduki oleh para menteri dan penguasa-penguasa tinggi yang lainRaja duduk di atas singgahsana dengan mengenakan mahkota di atas kepala."

Rasanya sudah sampai kepada penghujung bagi Bahagian 2 ini, semoga bertemu lagi dan InsyaAllah akan bersambung lagi pada bahagian yang seterusnya. Wallahu a'lam.

 Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
← Older Post