H·U·R·A·I·R·A·H
- العليم/Al-’Alim /Yang Maha Mengetahui/The Omniscient -
Facebook · Twitter · Ask.fm · Follow · Intagram
Bab 1: "Keikhlasan Ketika Berniat."
Sunday, September 22, 2013 AT 2:53 PM
          Semua amal perbuatan dan perkataan yang diperintahkan oleh agama dan keadaan-keadaan yang nampak mahupun tersembunyi bergantung kepada niat yang ikhlas kepada Allah s.w.t. tanpa sedikit pun diiringi perasaan nifak dan riak atau untuk menjaga nama baik atau wibawa atau kerana suka menampakkan diri. Maka sesungguhnya niat dan maksud yang tidak baik ini akan menggugurkan pahala dan ganjaran dari Allah s.w.t., menghalang penerimaan amal atau perkataan di sisi Allah s.w.t.


          Kerana itu, seorang Muslim hendaklah membaiki niatnya dalam pekerjaannya semata-mata kerana Allah s.w.t. dan sentiasa menjaga kebersamaan dengan Allah s.w.t. baik secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan. Sebab mengalihkan niat kepada selain Allah s.w.t. dalam pekerjaan apa pun tidak mendatangkan sesuatu apa pun dari kebaikan dan juga tidak membawa manfaat. Hal itu tidak lain, kerana semua urusan makhluk berada dalam kekuasaan Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Berkuasa dan bukan berada di tangan seseorang dari hamba-Nya yang lemah untuk mendapatkan sesuatu tanpa kehendak dari Allah s.w.t. dan kekuasaan-Nya atau dipermudahkan dan direstui-Nya. Allah s.w.t. berfirman dengan mafhumnya menjelaskan tentang keikhlasan dalam niat:

98:5

Maksudnya: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberikan zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar."

(Al-Bayyinah [98] - 5)


      Allah s.w.t. juga berfirman dalam ayat lain yang menerangkan tentang wajibnya niat kepada Allah ketika menyembelih haiwan dan korban;


22:37

Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi mu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepada mu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya."

(A-Hajj [22- 37)


     Allah s.w.t. juga berfirman menerangkan bahawa Dia mengetahui yang nampak dan tersembunyi di dalam hati;

3:29

Maksudnya: "Katakanlah: Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Ali 'Imran [3] - 29)

      Ayat ini menunjukkan bahawa ikhlas kepada Allah dalam perbuatan dan perkataan merupakan syarat penerimaan perbuatan dan perkataan itu. Sebab, Allah tidak menerima perbuatan kecuali dikerjakan secara ikhlas kepada-Nya. Dalam ini, para Ulama' sepakat menyatakan bahawa niat adalah syarat dalam melaksanakan ibadah, sehingga berimpak pada tercapainya pahala yang diharapkan. Mereka juga sepakat bahawa niat itu tempatnya di dalam hati.
   
      Adapun erti niat secara bahasa adalah maksud dan tidak disyaratkan untuk mengucapkannya. Sedangkan kebergantungan sahnya amal perbuatan kepada niat, maka dalam hal ini Ulama' berbeza pendapat. Maka golongan seperti mazhab Syafi'e berpendapat bahawa niat adalah syarat dalam setiap perantara ibadah seperti dalam wudhuk, dalam solat dan pekerjaan-pekerjaan itu sahnya bergantung kepada niat. Golongan yang lain seperti mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat itu merupakan syarat sahaja dalam maksud-maksud ibadah dan bukan perantara, itu sahnya tidak bergantung kepada niat. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah bahawa kesempurnaan pekerjaan-pekerjaan itu bergantung kepada niat.

      Apa yang jelas, Allah s.w.t. menggalakkan untuk berniat dalam kebaikan secara mutlak dalam setiap perbuatan, perkataan dan keadaan. Dan kerana Allah s.w.t. memberi pahala atas niat yang dilakukannya dan menjadikannya dalam timbangan keutamaan amal dan darjat di akhirat. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Umar bin Khattab RA, ia berkata;

"Saya mendengar Rasulullaw s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya pekerjaan-pekerjaan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang mendapatkan apa yang diniatkan. Kerana itu, barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kepada dunia yang didapatkannya atau wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang diniatkannya." (Muttafaq alaih)

      Imam Nawawi (RA) berkata;

"Yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah dalam perbuatan-perbuatan yang berupa ketaatan kepada Allah (SWT), dan bukan perbuatan-perbuatan yang mubah."

    Al-Harits al-Hatsimi juga berkata;

"Ikhlas tidak masuk dalam sesuatu yang mubah, kerana tidak mengandungi unsur mendekatkan diri kepada Allah dan tidak menyebabkan kedekatan kepada Allah, seperti membuat bangunan dengan niat untuk dapat berteduh. Sedangkan apabila untuk tujuan seperti Masjid atau jambatan, maka ini hukumnya sunah."

    Imam Nawawi kemudian berkata;

"Tidak ada keikhlasan pada hal-hal yang diharamkan atau makruh, sebagaimana melihat kepada apa yang tidak halal untuk dilihat, kemudian berdalil bahawa ia melihatnya untuk bertafakur tentang ciptaan Allah, seperti milihat anak muda, di mana dalam pandangan itu tidak ada keikhlasan di dalamnya, dan juga tidak ada ikhtiar mendekatkan diri kepada Allah sama sekali. Sebab ikhlas adalah mutiara Ibadah."

    Razin meriwayatkan daripada Ibnu Abbas (RA), bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Barang siapa yang ikhlas kepada Allah sebanyak 40 kali pada pagi, maka akan tampak sumber hikmah dari hatinya yang mengalir melalui lisannya."

    Sedangkan pekerjaan-pekerjaan yang perlu ditinggalkan seperti menghilangkan najis, mengembalikan barang yang di ghasab atau pinjaman atau memberikan hadiah dan lainnya, maka sahnya tidak bergantung pada niat yang membenarkannya, akan tetapi bergantung kepada niat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Di antara contohnya adalah apabila ia memberi makan kepada haiwan, maka apabila ia memberikan makan kerana melaksanakan perintah Allah SWT, ia mendapat pahala, dan apabila pemberian itu untuk menjaga hartanya, maka ia tidak mendapatkan pahala, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Qarafi.

    Jadi dari ayat dan hadis tentang niat ini jelas, bahawa  Allah SWT menggalakkan niat kepada-Nya dan bahawasanya ikhlas dalam berniat merupakan kunci penerimaan amal perbuatan di sisi Allah SWT. Sehingga apabila tidak ada niat yang baik dari amal perbuatan dan tidak diarahkan untuk mendapatkan redha Allah SWT, maka amal perbuatan itu tidak dapat mencapai tujuannya, iaitu diterima di sisi Allah SWT.

    Kerana itu, hadis; "Sesungguhnya amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya," menunjukkan bahawa sahnya amal perbuatan atau sahnya perbuatan dan perkataan atau sempurnanya perbuatan itu, bergantung kepada niatnya. Sedangkan yang dimaksudkan sabda Nabi SAW; "Dan setiap orang mendapatkan apa yang diniatkan," adalah ketentuan berhasilnya suatu perbuatan bergantung niatnya, sebagaimana yang dikatakan oleh al-Khattabni. Imam Nawawi berkata;

"Menentukan apa yang diniatkan adalah syarat, seperti berniat melaksanakan solat yang telah berlalu baik solat Zohor, Asr' dan lainnya."


Newer Post → ← Older Post