H·U·R·A·I·R·A·H
- العليم/Al-’Alim /Yang Maha Mengetahui/The Omniscient -
Facebook · Twitter · Ask.fm · Follow · Intagram
Bab 3: Akhlaq Mulia: Satu Huraian.
Wednesday, June 04, 2014 AT 4:24 PM

Rasulullah SAW bersabda:

 “Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi di antara kalian dan yang paling dekat kedudukannya denganku di hari kiamat kelak adalah orang yang terbaik akhlaqnya."                                                                      -Riwayat al-Tirmidzi -

      Bagi tujuan menghuraikan apa sebenar akhlaq yang mulia itu, Rasulullah SAW telah menyifatkannya sebagai kesimpulan kepada segala perbuatan baik.


       Al-Nawas Ibn Sam'an al-Ansari meriwayatkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang perbuatan baik (ابر) dan perbuatan dosa (الإثم). Demi menjawab pertanyaan tersebut, Rasulullah SAW bersabda:

 "Perbuatan baik itu ialah berakhlaq mulia, dan perbuatan dosa itu ialah apa yang kamu pendamkan (perkara yang menyebabkan kegusaran) dalam hatimu dan tidak bersedia untuk dilihat orang."                                                  - Riwayat Muslim dan al-Tirmidzi -    

        Dalam hadith di atas, Rasulullah SAW memberikan keterangan tentang perbuatan baik dan perbuatan dosa. Dalam keterangan tersebut, Baginda SAW telah menyimpulkan erti perbuatan baik itu dalam istilah akhlaq yang mulia.

        Ini memberi erti bahawa akhlaq yang mulia itu ialah suatu sifat yang bergandingan dengan sifat taqwa, atau pun suatu sikap atau sifat yang dilahirkan oleh rasa taqwa dalam hati seseorang kepada Allah.

        Oleh sebab taqwa itu suatu unsur asasi dalam mendapat keredhaan Allah, maka akhlaq yang mulia juga merupakan syarat bagi seseorang itu mendapat keredhaan Allah Azza Wa Jalla. Hakikat ini diterangkan oleh hadith berikut: 

Daripada Abu Hurairah (RA) katanya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah ditanya sesuatu yang paling banyak memasukan manusia kedalam syurga, maka beliau bersabda: “Bertaqwa kepada Allah dan kemulian akhlaq”,kemudian beliau ditanya tentang sesuatu yang paling banyak menjerumuskan manusia kedalam neraka, maka beliau menjawab: “Mulut dan kemaluan”.                                                                                                                     - Riwayat al-Tirmidzi (4/363) -         

         Malah, dalam suatu hadis lain Rasulullah SAW menyifatkan kebaikan akhlaq sebagai satu gejala keunggulan insan bagi seseorang itu. Abu Hurairah telah meriwayatkan hadith berikut:

"Orang-orang Mu'min yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya."                                                                                                                          Riwayat Abu Daud -    

         Pengertian yang hampir sama telah juga dibayangkan oleh hadith-hadith berikut:

Daripada Abu al-Darda' (RA) bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Tidak ada suatu pun yang lebih timbangan orang Mu'min pada hari kiamat selain daripada kemuliaan akhlaq. Sesungguhnya Allah bencikan perbuatan keji dan kata-kata tercela."                                                                                                                                                -Riwayat al-Tirmidzi -

“Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi di antara kalian dan yang paling dekat kedudukannya denganku di hari kiamat kelak adalah orang yang terbaik akhlaqnya."'                                                                                      -Riwayat al-Tirmidzi -     

Daripada seorang lelaki dari Mazinah, katanya, mereka berkata, "Hai Rasulullah, apakah perkara paling baik pernah diberikan kepada manusia?" Sabda Rasulullah SAW: "Akhlaq yang baik."                                                                    -Riwayat al- Baihaqi -    

        Al- Imam Ghazali dalam kitabnya, Ihya' 'Ulumiddin, mentakrifkan akhlaq sebagai suatu sikap yang mendalam di dalam diri manusia. Daripadanyalah lahir bentuk-bentuk perbuatan secara spontan. Kalau sikap ini melahirkan tindak-tanduk serta perbuatan lahir yang baik sama ada dari segi akal atau syarak, sikap itu disebut sebagai akhlaq yang baik. Sebaliknya, kalau yang lahir daripadanya itu perbuatan yang buruk maka sikap itu disebut sebagai akhlaq yang buruk.
       Lebih lanjut al-Imam Ghazali mengulas: Perlunya sikap seperti itu suatu yang mendalam adalah kerana ada kemungkinan orang berbelanja dengan banyaknya bukan kerana sifat pemurah yang tersemat dalam hatinya, tetapi kerana ada keperluan lain yang menyebabkan dia berbuat demikian. Begitu juga, segala perbuatan yang lahir itu perlu berbentuk spontan dan tidak payah melalui proses pemikiran yang panjang kerana seseorang yang terpaksa berfikir panjang sebelum membuat apa-apa sumbangan, misalnya, tidak boleh dianggap pemurah. Begitu juga seorang yang terpaksa menekan perasaannya untuk tidak melahirkan kemarahannya tidak boleh disifatkan sebagai penyabar.

       Mengikut al-Imam Ghazali lagi, akhlaq bukan perbuatan lahir kerana mungkin seseorang itu sifatnya pemurah tetapi tidak menderma kerana sebab-sebab kewangan atau sebagainya. Sebaliknya pula, mungkin seseorang itu bersifat kedekut tetapi telah menderma dengan banyak sekali kerana mahu dipuji orang, misalnya.

        Mengikut beliau lagi, akhlaq juga bukan ilmu atau pengetahuan tentang kebaikan dan keburukan. Tegasnya, akhlaq itu ialah suatu tabiat peribadi yang menentukan corak tindak-tanduk seseorang itu dalam hidupnya.

"Perbuatan baik itu ialah berakhlaq mulia, dan perbuatan dosa itu ialah apa yang kamu pendamkan (perkara yang menyebabkan kegusaran) dalam hatimu dan tidak bersedia untuk dilihat orang."     

← Older Post